
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah dan Sarawak menurun, manakala di Perak kekal setakat 8 malam tadi.
Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan 134 mangsa daripada 46 keluarga terjejas di Beaufort masih ditempatkan di PPS Dewan Selagon yang dibuka sejak Ahad lalu susulan banjir akibat hujan lebat berterusan.
Semua mangsa dari lima kampung di Beaufort dan pemantauan masih diteruskan di “hotspot” daerah itu.
Di Sarawak, hanya lapan mangsa banjir daripada tiga keluarga, iaitu Kampung Buluh Balui, Kampung Batu Danau serta Kampung Pandak masih berlindung di PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui.
Di Perak, jumlah mangsa kekal dengan 38 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah di Kerian yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.
Keadaan banjir di Kampung Matang Tengah semakin surut, namun hujan lebat sejak awal pagi hingga petang tadi menyebabkan PPS itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, menurut kenyataan itu.