
PETALING JAYA: Perjanjian penangguhan pendakwaan boleh dijadikan alat memerangi rasuah jika kerajaan menetapkan garis panduan jelas dalam menentukan kriteria dan hadnya, menurut badan anti-rasuah.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Pushpan Murugiah berkata, penangguhan pendakwaan patut dilaksanakan selaras peruntukan sedia ada, berbanding digunakan sebagai satu-satunya bentuk tindakan undang-undang.
“Kerajaan mesti menggariskan dasar lebih nyata mentakrifkan kriteria dan had perjanjian penangguhan pendakwaan,” katanya.
“Satu komponen utama adalah mesti ada pengakuan oleh pihak berkenaan bahawa kesalahan telah dilakukan,” katanya kepada FMT.
Perjanjian penangguhan pendakwaan adalah perjanjian sukarela antara pihak pendakwaan dan organisasi yang mana penggantungan atau penangguhan pendakwaan dibolehkan selepas syarat-syarat tertentu dipenuhi, seperti bayaran denda atau penyerahan dana haram.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dipetik baru-baru ini sebagai berkata, penggunaan mekanisme itu, seperti di Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, Singapura, dan Australia, mampu mengelak proses pendakwaan berpanjangan, rumit, dan mahal.
Pushpan berkata, organisasi juga boleh diarah mengembalikan sebarang dana terkumpul hasil kegiatan haram dan meminimumkan kerosakan hasil tindakan korup.
“Dalam kes seperti perolehan kerajaan, di mana wang telah dibayar namun kontraktor gagal memenuhinya, adalah lebih baik untuk mendapatkan semula wang dibayar justeru ia boleh disalurkan semula kepada projek lain yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.
Presiden Malaysia Corruption Watch Jais Abdul Karim berkata, mekanisme tersebut boleh menggalakkan, memberikan insentif kepada pihak syarikat untuk bekerjasama dan melaksanakan reformasi dalaman.
Beliau mencadangkan individu juga dibenar menggunakan mekanisme itu mengikut kes.
“Mengkhususkannya kepada syarikat semata-mata mungkin tidak munasabah dalam kes di mana individu menjadi dalang utama,” katanya.