
PETALING JAYA: Orang awam sudah hilang hormat pada undang-undang perlindungan kanak-kanak disebabkan kurangnya tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang mendera, kata Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Farah Nini Dusuki.
Katanya, Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan doktor, ahli keluarga, dan penjaga melaporkan kes penderaan kanak-kanak, atau denda sehingga RM5,000 dan dua tahun penjara boleh dikenakan.
“Tiada hebahan dibuat berhubung undang-undang ini dan implikasinya jika tidak patuh. Kesannya, undang-undang bersifat pencegahan ini menjadi tidak berkesan,” katanya kepada FMT.
Ibu bapa atau penjaga yang sengaja mengabaikan kanak-kanak boleh dikenakan hukuman, namun disebabkan tindakan kurang diambil, orang awam jadi hilang hormat pada undang-undang sedia ada.
Farah, yang dilantik menjadi pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam pada Mac, menggesa lebih banyak program kesedaran dijalankan – “namun orang awam perlu dididik menghormati kanak-kanak”, katanya.
Farah berkata demikian mengulas laporan kerajaan baru-baru ini bahawa 2,959 kes penderaan kanak-kanak dilapor hingga Mei, berbanding 1,055 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Bekas pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam berkata, beliau percaya kebanyakan kes berlaku di projek perumahan rakyat (PPR), di mana Jabatan Kebajikan menubuhkan pusat khidmat.
Katanya, jumlah besar kes penderaan kanak-kanak direkod berlaku di PPR kesan kehilangan kerja, masalah kesihatan mental, selain keganasan rumah tangga, dan angkanya meningkat ketika wabak Covid-19.
Ramai penduduk PPR tidak sedar kewujudan Akta Kanak-Kanak atau pusat perlindungan Jabatan Kebajikan, menjadikan usaha mengekang penderaan kanak-kanak terbantut.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperkasa komuniti setempat membentuk pusat komuniti sendiri di mana aduan boleh difailkan, termasuk kes disyaki penderaan.