
PUTRAJAYA: Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin hari ini memulakan hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan hasutan terhadap Sultan Selangor pada 2012.
Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhirnya terhadap sabitan tersebut, tetapi membenarkan hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Sesyen dikenakan semula.
“Kami sekarang mengeluarkan waran komital untuk perayu memulakan hukuman penjara,” kata pengerusi panel hakim Hadhariah Syed Ismail.
Wan Ji, yang juga bekas pembantu ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng, diikat jamin sementara menunggu keputusan bagi rayuannya.
Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin, berkata rayuan Wan Ji atas sabitan tersebut tidak mempunyai merit.
“Tiada apa-apa tentang Akta Hasutan yang tidak berperlembagaan,” katanya merujuk pada cabaran Wan Ji terhadap kesahan undang-undang tersebut.
Hakim juga berkata walaupun Perlembagaan menjamin kebebasan bersuara, kata-kata yang dikeluarkan oleh Wan Ji tidak wajar.
Hadhariah yang akan bersara tidak lama lagi menasihatkan Wan Ji supaya sentiasa merendah diri dan tidak memburukkan orang lain.
“Walaupun seseorang itu lebih arif dalam hal agama, kritikan mesti tetap sopan,” katanya.
Hadhariah juga berkata, hak kebebasan bersuara bukan mutlak dan mesti dilaksanakan dengan berhati-hati.
“Kita perlu berhati-hati apabila menyentuh tentang kaum, agama, dan raja,” tambahnya.
Hakim turut mengumumkan panel hakim mengetepikan hukuman dipertingkat yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi, memandangkan mahkamah sama tidak pun mendapati hukuman asal tidak mencukupi.
Timbalan pendakwa raya How May Ling dan Aida Khairuleen Azli mengendalikan pendakwaan, manakala Faiz Fadzil mewakili Wan Ji selaku peguam.
Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara ke atas pendakwah itu selepas dia didapati bersalah melakukan hasutan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tuduhan itu berhubung catatan di Facebook pada 2012 mengenai Sultan Selangor itu.
Wan Ji merayu sabitan itu, sementara pihak pendakwaan merayu hukuman dipertingkat.
Pada 9 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam mempertingkat hukuman penjara Wan Ji kepada satu tahun.
Wan Ji didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun serta denda maksimum RM5,000.