
PUTRAJAYA: Pemandu lori treler yang terlibat dalam kemalangan merempuh 14 kenderaan lain di KM5.8 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong pada 20 Sept, mengorbankan dua mangsa, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.
Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, 29, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar.
Dia didakwa memandu secara merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan Yuswar Mohd Uyus, 39, dalam kejadian pada 10.14 pagi itu.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Wan Nurul Amalina memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 berserta seorang penjamin, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, tertuduh juga perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 25 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian itu, dua penunggang motosikal maut dan tujuh cedera apabila sebuah treler bermuatan batu pasir merempuh kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di laluan terbabit, termasuk sebuah motosikal polis trafik.