
PETALING JAYA: Ti Lian Ker, yang gagal mempertahankan jawatan naib presidennya pada pemilihan MCA malam tadi, berkata Pahang – negeri asalnya – “tidak dimasukkan menu utama”.
Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu menjelaskan, setiap bahagian perlu mengundi empat naib presiden daripada senarai tujuh calon.
Selain Ti, tokoh lain yang bertanding untuk jawatan naib presiden termasuk Lim Ban Hong dari Melaka; Tan Teik Cheng (Pulau Pinang); Wee Jeck Seng (Johor); Low Ah Keong (Selangor); Nicole Wong (Wilayah Persekutuan); dan Dr Pamela Yong (Sabah).
Sebuah “menu” kemudiannya akan disediakan oleh pemimpin negeri dan bahagian untuk membantu membimbing ahli MCA yang “tidak begitu mahir politik”, katanya.
Menurut Ti, “menu” yang dimuktamadkan hanya menampilkan empat nama mewakili Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.
“Pahang tidak dimasukkan dalam ‘menu utama’,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambahnya, beliau dapat mengagak kesimpulan yang dijangka, iaitu beliau kalah dalam pertandingan jawatan naib presiden.
“Justeru, saya berhenti berkempen pada hari sama dan beritahu penyokong agar jangkakan kekalahan, tetapi mereka masih berharap,” katanya.
Malam tadi, Tan, Low dan Wee dipilih sebagai naib presiden baharu MCA.
Sementara itu, Wee Ka Siong memperoleh kemenangan besar dan mempertahankan kedudukannya sebagai presiden.