
PETALING JAYA: Ketiadaan undang-undang anti-lompat parti di Pahang mungkin menyebabkan kedudukan kerajaan negeri goyah sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang besar pada PRK Pelangai, menurut pemerhati politik.
Bagaimanapun, mereka menolak kemungkinan berlakunya perubahan dalam kerajaan menerusi pembelotan.
Timbul spekulasi baru-baru ini bahawa kemenangan besar PN di bekas kubu kuat Umno itu boleh menyebabkan pembangkang lebih berani menekan Adun Barisan Nasional (BN) untuk lompat dan membantu mereka membentuk kerajaan negeri baharu.
Pada masa ini, PN memegang 17 kerusi dalam DUN 42 kerusi, manakala BN mempunyai 16 dan menerajui kerajaan perpaduan negeri dengan sokongan lapan Adun Pakatan Harapan (PH). Majoriti mudah 22 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.
PRK DUN Pelangai akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada 7 Okt dengan pengundian awal dijalankan pada 3 Okt.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Adun Umno dan Exco Pahang Johari Harun dalam nahas pesawat berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim Samat (PN); Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH); dan Isa Ahmad (Pejuang).
Daripada 16,456 pengundi di Pelangai, 72.1% terdiri daripada orang Melayu, 18.2% Cina, manakala India 5.7%.
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, ura-ura mengenai wakil rakyat lompat parti mungkin tercetus disebabkan laporan baru-baru ini bahawa Ketua BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga menteri besar, bertemu dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
“Saya rasa, bukan senang untuk Adun lompat parti pada peringkat ini, sekalipun calon PAS menang besar pada PRK Pelangai. Bagaimanapun, ia akan menunjukkan berlakunya peralihan besar undi Melayu daripada Umno.
“Semua pihak mahukan kerajaan yang stabil, dan saya rasa kerabat diraja Pahang juga lebih suka status quo dikekalkan sehingga pilihan raya seterusnya,” katanya kepada FMT.
Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, walaupun PN yang diterajui PAS serius dalam usahanya merampas kerusi itu bagi menunjukkan orang Melayu telah berpaling daripada Umno, nampaknya tidak wujud iltizam yang kuat daripada mana-mana wakil BN atau PH untuk lompat.
“Menteri besar disukai ramai penduduk negeri itu dan juga pihak istana. Hubungan antara mereka mesra dan pentadbiran agar lancar.
“Jika mana-mana Adun lompat, rakyat mungkin akan membalas perbuatan itu pada pilihan raya seterusnya. Jika PN menang di Pelangai, gabungan itu perlu meyakinkan sekurang-kurangnya empat Adun BN atau PH untuk lompat agar mereka boleh mengambil alih pentadbiran (negeri).
“Saya tak rasa sesiapa ada ‘mood’ sekarang untuk tukar pentadbiran (negeri) yang diurus dengan baik,” katanya.
Tiada masalah dengan kerajaan negeri
Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya bersetuju bahawa rakyat dan kerabat diraja lebih mengutamakan kestabilan politik berbanding gangguan yang disebabkan oleh lebih banyak perubahan.
“Tiada isu yang cukup kuat untuk mewajarkan kerajaan ditukar selepas hanya setahun (dibentuk). Sukar untuk diterima rakyat dan raja jika mana-mana Adun lompat parti semata-mata agar kerajaan ditukar,” katanya.
Mengenai peluang BN di Pelangai, Santiago berkata, kerusi itu disandang bekas menteri besar Adnan Yaakob selama lapan penggal sebelum Johari menggantikan bekas ketua Umno negeri itu tahun lepas.
Bagaimanapun, trend pengundian dalam kalangan pengundi Melayu baru-baru ini bukan petanda baik bagi BN.
“Pada PRU15, BN memperoleh 4,048 undi dengan sekutunya, PH mendapat 2,031 undi, manakala PAS 3,260,” katanya.
“Dengan kehilangan undi Melayu, seperti yang ditunjukkan pada PRN enam negeri baru-baru ini, mungkin tidak semudah itu untuk BN memenangi majoriti selesa lagi,” katanya.
Santiago berkata Adnan, sebagai menteri besar, telah membawa banyak manfaat kepada pengundi di kerusi separa bandar itu.
“Jadi dalam konteks ini, Umno ada kelebihan,” tambahnya.
Azmi berkata, undi daripada kira-kira 4,000 pengundi bukan Melayu akan memberi pengaruh signifikan terhadap keputusan pilihan raya, kerana secara tradisinya, mereka penyokong PH.
“Corak pengundian pada pilihan raya baru-baru ini menunjukkan ramai pengundi bukan Melayu menjauhkan diri, malah menyokong calon PN.
“Sokongan mereka penting untuk mengimbangi kehilangan undi Melayu (untuk BN) yang dijangka,” katanya.