
KUALA LUMPUR: Malaysia sentiasa berjaga-jaga walaupun tiada sebarang perbincangan berhubung kebimbangan penularan pandemik X, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, agenda berkait pandemik dikatakan itu tidak disentuh menteri kesihatan negara lain ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, kelmarin.
Ahli Parlimen Sekijang itu bagaimanapun berkata, Malaysia akan sentiasa memantau perkembangan semasa berhubung kebimbangan perkara tersebut seperti dilaporkan media, semalam.
“Saya baru balik dari New York dan kita berhimpun di New York itu, ada 194 negara ahli kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan menteri-menteri kita bersama itu menteri-menteri kesihatan, tak ada dibincangkan pun berkenaan seperti ditanya kemungkinan pandemik X. Jadi, saya rasa apa pun kita sentiasa bersiap siaga apa sahaja.
“Dinamakan X itu kerana kita tak tahu lagi penyakit apa, sebab itu dinamakan X. Tetapi, kalau ikutkan persediaan kita di peringkat Kementerian Kesihatan, kita memang sentiasa bersedia atas apa sahaja kemungkinan jika berlaku pandemik pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di majlis penyerahan kompleks dewan bedah, ICU, dan wad tambahan HKL.
Katanya, Malaysia juga sentiasa bersedia dengan kemungkinan penularan sebarang wabak baharu.
“Tetapi, apa pun seperti yang tadi disebut, di peringkat WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) pun kalau ada, sudah tentu mereka juga memberikan peringatan kepada negara-negara berkenaan,” katanya.
Semalam, WHO dilaporkan berkata wujud kebimbangan kemunculan penyakit X yang berisiko menjadi pandemik dan mengancam nyawa dan populasi manusia.
Istilah penyakit X digunakan WHO pada 2018, merujuk kepada agen penyakit baharu, sama ada ia virus, bakteria atau fungus yang belum mempunyai vaksin.
Wabak Covid-19 kemudian tercetus kira-kira setahun kemudian.