
PETALING JAYA: Penahanan empat anggota polis peronda membawa kepada tangkapan sembilan suspek disyaki terlibat sindiket curi kabel susulan serbuan di Selangor 20 Sept lalu.
Suspek berusia antara 20 hingga 40-an ditahan selepas polis menerima aduan kecurian kabel bawah tanah oleh Telekom Malaysia (TM) pada 18 Sept.
Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata bertindak atas laporan satu siasatan dijalankan pasukan D4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya.
“Hasil risikan, pasukan berjaya menahan empat anggota polis peronda (MPV) yang bertugas di IPD Petaling Jaya kira-kira 11.30 malam pada 19 Sept.
“Soal siasat dilakukan membawa kepada penahanan lapan suspek tempatan dan seorang warga asing dalam lima serbuan di premis besi buruk di Kampung Sungai Kandis, Klang dan Bukit Kemuning, Shah Alam; premis di Kawasan Perindustrian Shah Alam; rumah di Seksyen 8/1 Petaling Jaya serta Taman Seri Sentosa Jaya, Klang,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, polis berjaya merampas dua kenderaan pelbagai guna, kereta jenis BMW, Honda Civic, pacuan empat roda Ford Ranger, lori, jaket pantulan cahaya, dan 11 telefon bimbit.
“Polis turut menemui 1.2 tan gulungan wayar tembaga yang sudah dibakar bernilai RM100,000, besi penutup longkang, dan buku hasil jual beli termasuk resit,” katanya.
Fakhrudin berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif mencuri kabel di sekitar Petaling Jaya sejak awal tahun.
“Empat anggota MPV itu disyaki terbabit bagi melancarkan aktiviti jenayah mereka dan kita tidak menolak kemungkinan mereka menerima sejumlah bayaran bagi setiap jenayah dilakukan,” katanya.
Katanya, lapan suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan semua direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Menurutnya, empat anggota polis direman sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan, namun digantung kerja.