
SEREMBAN: Ketua Amanah Negeri Sembilan MK Ibrahim Abd Rahman dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
MK Ibrahim, 67, dipilih secara sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri selepas diusulkan oleh Menteri Besar Aminuddin Harun dan disokong Adun Pertang Jalaluddin Alias.
Setiausaha DUN Mohd Amin Ludin memaklumkan pada mesyuarat pertama penggal pertama DUN ke-15 di Dewan Negeri Sembilan, terdapat dua nama calon Speaker dikemukakan, namun seorang daripadanya ditolak kerana tidak memenuhi syarat di bawah Peraturan 2 Perintah 7 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pada persidangan itu juga, 34 Adun mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah, didahului Aminuddin dan diikuti 10 exco serta Adun lain.
MK Ibrahim memaklumkan Adun Rantau Mohamad Hasan dan Adun Chennah Loke Siew Fook tidak hadir pada persidangan tersebut atas urusan rasmi.
Persidangan DUN ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.