
PETALING JAYA: Kerajaan Perak bersedia menghentikan pembalakan jika perlombongan nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) memberi pulangan lumayan, kata Menteri Besarnya Saarani Mohamad.
Saarani berkata berdasarkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, anggaran deposit NR-REE di negeri itu sebanyak 1.68 juta tan dengan nilai RM46.5 bilion,
“Semua sedia maklum selama ini pembalakan menyumbang kepada pendapatan negeri. Jadi kalau kita cukup kaya dengan NR-REE, jadi tak perlu potong balak sebab pokok ini perlu dipelihara untuk penghijauan kerana seluruh negara bercakap mengenai teknologi hijau.
“Jadi kerana itu saya tak boleh mengesahkan kita perlu tebang (hutan) atau tidak kerana bergantung kepada kajian,” katanya menurut Sinar Harian menjawab soalan tambahan Mohamad Fakhrudin Abd Aziz (PN-Kamunting) pada sidang DUN hari ini.
Saarani berkata projek perintis perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak dengan keluasan 86.4 hektar setakat ini menjana hasil royalti sebanyak hampir RM16 juta kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, ia membabitkan 10 kali pengeksportan Rare Earth Carbonate ke China sehingga Julai lalu.
“Projek perintis ini turut membuktikan bahawa nadir bumi ini bukan radioaktif dan pengekstrakan melalui ‘in-situ leaching’ merupakan kaedah yang terbaik dan tidak mencemarkan alam sekitar.
“Ekoran kejayaan projek perintis ini, kerajaan negeri berhasrat meneruskan perlombongan pada keseluruhan kawasan yang telah mendapat kelulusan EIA (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar) iaitu seluas 5,339 ekar (2,135.6 hektar),” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Yusri Mohd Yunus berkata Malaysia memiliki tiga NR-REE dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai komersial hampir RM1 trilion.
Selain Perak, Praseodymium, Neodymium dan Dysprosium juga banyak di Terengganu, Kelantan, Pahang serta Kedah.
Bahan terbabit adalah elemen utama dalam penghasilan magnet berkuasa tinggi bagi menghasilkan motor elektrik kereta hibrid/elektrik, turbin angin, perkakasan elektrik rumah dan industri, skrin serta pembesar suara telefon bimbit.