
PETALING JAYA: Lebih kurang tiga parti politik baharu berasaskan kaum India sedang dibentuk, menurut sumber, dengan banyak yang terjadi di belakang tabir berikutan pelbagai halangan dihadapi pemimpin politik India pada pilihan raya baru-baru ini.
MIC tidak menunjukkan prestasi yang bagus pada PRU November lepas, kemudian pemimpin India dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diketepikan dalam persediaan menghadapi PRN enam negeri bulan lepas.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi memberitahu MIC, parti itu tidak akan ditawarkan sebarang kerusi untuk ditandingi. Hal ini mencetuskan tindakan keluar parti secara kecil-kecilan serta peletakan jawatan oleh beberapa ahli penting di tengah-tengah khabar angin bahawa mereka sedang berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai permulaan baharu.
PH turut menggugurkan tokoh DAP, P Ramasamy, daripada barisan calonnya di Pulau Pinang, mendorong bekas timbalan ketua menteri itu dan penyokong setianya keluar parti beberapa hari sebelum pilihan raya berlangsung.
Satu sumber PN memberitahu FMT, sebuah parti India sedang diusahakan memandangkan semakin ramai pengundi India beralih menyokong PN antara PRU dan PRN baru-baru ini.
“(Jumlah) naik kepada 21%, daripada 5%, yang jelas menandakan perlunya ada parti India dalam PN,” kata sumber itu.
Tambahnya, timbalan pengerusi jawatankuasa kaum India dalam PN, P Punithan telah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan utama di seluruh negara.
“Beliau telah menyediakan pelan tindakan komprehensif dan mengambil langkah agresif ke arah pembentukan parti baharu,” kata sumber itu.
Bagaimanapun, Punithan hanya berkata, ia sesuatu yang ”masih diusahakan”.
Satu lagi sumber mendedahkan, sebuah parti India yang sehaluan dengan PH sudah pasti, malah telah mendapat lampu hijau daripada Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
“Ia akan diketuai oleh bekas pemimpin MIC,” kata sumber itu.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, PN juga sedang berbincang dengan kumpulan India lain mengenai penubuhan parti yang mesra, walaupun perbincangan masih pada peringkat awal.
Tambahnya, sebarang keputusan hanya akan diketahui lebih hampir menjelang PRU akan datang.
“Kumpulan ini dianggotai beberapa bekas ahli PH yang pada masa ini tidak berpuas hati,” kata sumber itu.
Minggu lepas, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin memuat naik di media sosial gambarnya bersama Ramasamy dan dua sekutu Ramasamy, bekas pemimpin DAP Pulau Pinang David Marshel dan M Satees.
Tidak menganggapnya serius, Ramasamy menyifatkan pertemuan itu sebagai peluang dua rakan berbincang mengenai politik negara.