
PUTRAJAYA: Polis memburu pemandu dan seorang penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang melanggar beberapa sekatan jalan raya (SJR) sekitar Sepang, dan palang tol Lebuhraya Elite, semalam.
Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kenderaan yang kelihatan mencurigakan itu pada mulanya diarah berhenti di SJR di Cyber 8, Jalan Persiaran Apec, Cyberjaya pada kira-kira 11.30 malam.
“Pemandu kenderaan bagaimanapun tidak mengendahkan arahan polis (sebaliknya) memecut meninggalkan SJR,” katanya, dan menambah polis kemudian membuat hebahan maklumat di pusat kawalan untuk mengesan kenderaan berkenaan.
Beliau berkata, kereta peronda polis (MPV) mengejar kenderaan itu di Lebuhraya Putrajaya dan ia kemudian merempuh palang tol susur keluar Lebuhraya Elite menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan turut merempuh palang tol Serenia di susur keluar Lebuhraya Elite ke Dengkil.
“Kenderaan itu seterusnya merempuh satu lagi SJR ketika melalui Jalan Dengkil-Banting dengan melanggar kon polis yang diletakkan di atas jalan raya sebelum terbabas di bahu jalan ketika di Kampung Olak Lempit, Banting,” katanya dalam kenyataan.
Wan Kamarul berkata kenderaan itu terbabas kira-kira 20km dari tempat SJR Cyberjaya, dan pemandu serta penumpang bahagian hadapan kenderaan itu meloloskan diri, namun dua lagi penumpang berjaya ditahan.
Beliau berkata, dua yang ditahan kira-kira 2 pagi tadi itu adalah pasangan kekasih warga asing berumur 21 dan 32 tahun yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah, dan selepas diperiksa polis menemukan dua bungkus plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu yang dianggar seberat 103.61g dalam kenderaan berkenaan.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 186 atau Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu dengan gopoh serta cuai di jalan awam.
Menurutnya bagi kesalahan menghalang penjawat awam, ia boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, manakala bagi kesalahan memandu secara cuai, ia boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000.
Wan Kamarul berkata siasatan juga akan dijalankan Bahagian Siasatan Narkotik IPD Kuala Langat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati.