
PETALING JAYA: Sebuah replika kuda hiasan diperbuat daripada besi bersalut tembaga seberat satu tan dilarikan pencuri dari kawasan perumahan dekat Taman Sri Pulai Perdana di Iskandar Puteri Isnin lalu.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata pengawal keselamatan bertugas di pos pengawal melihat replika itu dilarikan suspek tidak dikenali kira-kira 6 pagi menggunakan sebuah lori dipercayai pengangkut sampah.
Katanya, pengawal itu memaklumkan timbalan pengerusi jawatankuasa penduduk dan cuba mengejar suspek serta mencari lori terbabit, tetapi gagal.
Beliau berkata, replika itu ditemui semula di Jalan Johor Bahru-Pontian, kira-kira 300m dari lokasi kejadian, dipercayai terjatuh akibat tali pengikat putus, sebelum ditinggalkan di tepi jalan.
“Setakat ini, polis belum dapat mengenal pasti suspek, namun tindakan mengesan lori digunakan masih dijalankan,” katanya menurut Sinar Harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 511 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial replika kuda itu dilarikan dan ditemui semula dalam keadaan “cedera”.