
KUANTAN: Tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 3 Okt bagi PRK Pelangai berikutan kertas undi pos dikeluarkan bagi semua anggota polis, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha Ikmalrudin Ishak berkata SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos, semalam.
Menurutnya, sebanyak 69 kertas undi dikeluarkan mengikut kategori 1A merangkumi petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan petugas media, selain satu kategori 1C iaitu agensi dan organisasi serta tiga pengundi tidak hadir luar negara.
“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding,” katanya dalam kenyataan.
SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang perisytiharan identiti serta mengembalikannya kepada pegawai pengurus berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi, 7 Okt.
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.
SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi pada 7 Okt, manakala 3 Okt sebagai tarikh pengundian awal.