
KUALA LUMPUR: Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim melaksanakan segera pelan jangka pendek bagi mengatasi isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan termasuk beras.
Bekas perdana menteri berkata, langkah segera perlu dibuat memandangkan rakyat “sudah bising” dan ia menuntut kerajaan bertindak.
“Waktu saya dulu apabila harga ayam naik kita terus ambil tindakan pastikan harga ayam dapat dikawal, salah satunya hentikan eksport ayam ke Singapura. Buka pemberian permit import (AP) supaya banyak syarikat boleh bawa masuk bekalan, itu untuk jangka pendek.
“Sepatutnya kerajaan umum langkah jangka pendek untuk selesai isu harga barang yang meningkat dan kekurangan bekalan sebab rakyat sudah bising. Saya harap kerajaan ambil tindakan segera,” katanya selepas menghadiri Malam Gema Puisi 2023.
Sementara itu, mengulas peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Ismail berkata semasa era pentadbirannya dana wakil rakyat diberikan walaupun tiada rundingan dibuat, bagaimanapun jumlahnya lebih rendah.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, jumlah peruntukan sama rata kemudian diberikan kepada pembangkang selepas rundingan dibuat melalui Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
“Waktu saya perdana menteri kita menandatangani CSA, selepas itu saya beri peruntukan sama rata. Sebelum CSA dari segi peruntukan ada tapi tak sama rata, pembangkang dapat lebih kecil.
“Sebelum CSA tanpa rundingan pun dengan pembangkang…kita bagi lebih kurang RM100,000 hingga RM200,000 setiap tahun. Siapa memerintah pembangkang tetap dapat peruntukan automatik,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail berkata peruntukan itu adalah dana khas daripada perdana menteri dan bawah era Anwar, beliau sudah menyatakan wakil pembangkang perlu berunding terlebih dahulu sebelum diberikan.
Sebelum ini, Anwar membidas Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa “sombong” kerana menuntut peruntukan wakil rakyat tetapi enggan berbincang dengan kerajaan bagi merealisasikan perkara itu.