
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah zalim untuk mempersoalkan peruntukan RM15.75 juta bagi 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara sedangkan dana yang diperuntukkan untuk pendidikan Melayu sebanyak RM3 bilion.
Katanya, jumlah sama turut diperuntukkan bagi sekolah persendirian Cina semasa pentadbiran terdahulu, termasuk pada zaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, kerajaan membelanjakan kira-kira RM1 bilion setahun untuk sekolah agama, manakala Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM2 bilion untuk institusinya.
“Kalau campur RM1 billion dengan RM2 billion, maknanya RM3 billion kita belanja untuk pendidikan orang Melayu Islam sahaja,” katanya pada ceramah Barisan Nasional di Kampung Chemomoi, Pahang, sempena PRK Pelangai.
“Sebab itu saya kata, zalim lah kita, RM3 billion orang tak pertikai pun perbelanjaan kita, yang RM15 juta kita bagi (pada sekolah persendirian Cina), apakah itu kita nak pertikaikan?”
Beliau menegaskan betapa pentingnya Umno dalam kerajaan perpaduan untuk melindungi kepentingan orang Melayu dan Islam.
Pada April, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM15.75 juta bagi 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.
Loke berkata, permintaan Presiden Dong Zong Tan Tai Kim untuk pembiayaan itu diluluskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan.
Prinsip PAS berubah-ubah
Asyraf turut menyentuh tentang prinsip dan kesetiaan PAS yang berubah-ubah dengan berkata, parti itu sudah tidak lagi bersuara mengenai hudud dan agenda negara Islam selepas membentuk kerjasama politiknya sebelum ini dengan DAP.
Beliau berkata, ketika PAS bergandingan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, parti itu juga meyakinkan akar umbinya agar menyokong DAP untuk menjatuhkan Umno, yang menjadi kerajaan ketika itu.
“Waktu itu, bila (PAS) bersama DAP, orang DAP baca ayat al-Quran, biarlah makhraj tak betul pun, tajwid langsung ke laut, (mereka kata) biarlah (DAP) baca ayat al-Quran untuk jatuhkan Umno,” katanya.
“Tiba-tiba Lim Guan Eng (tokoh DAP) diangkat jadi (seperti) Khalifah Umar Abdul Aziz. Takkan kita lupa?”
Asyraf berkata demikian selepas pada Ahad mempertahankan ahli Jawatankuasa DAP Pusat Howard Lee yang dikritik PAS kerana membaca ayat al-Quran di Dewan Rakyat.
Katanya, PAS tiada masalah dengan tindakan serupa DAP pada masa lalu ketika mereka bersekutu, dengan mengatakan bahawa tindakan DAP telah “diluluskan” oleh pemimpin PAS ketika itu.
PAS lantang mengkritik Lee, dan sekurang-kurangnya satu laporan polis telah dibuat terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.