
SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan mematahkan kegiatan penyeludupan rokok putih dari China dan menyita sejumlah 11,750 karton produk itu yang melibatkan anggaran cukai hampir RM1.57 juta di kawasan Gebeng, Pahang, awal bulan ini.
Pengarah Kastam negeri, Mohammad Hafiz Ishak, berkata bertindak atas maklumat, pihaknya menahan seorang pemandu lori berusia lingkungan 40-an yang dalam perjalanan dari pantai timur ke Lembah Klang.
“Rokok ini mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan dan pembelinya adalah warga China yang bekerja di negara ini. Rokok tersebut dijual pada harga murah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata pasukannya juga berhasil mematahkan kegiatan penyeludupan bir pelbagai jenama melibatkan anggaran cukai RM125,549 di sebuah gudang di Nilai serta menahan empat individu terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Myanmar berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati rokok dan bir terbabit adalah produk belum lulus Kastam dan Barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.