
PUTRAJAYA: Tiada sebarang perbincangan mengenai rombakan Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil.
“Tentang rombakan tidak dibincangkan,” katanya pada sidang media di kementerian, ketika ditanya sama ada mesyuarat hari ini membincangkan tentang rombakan Jemaah Menteri.
Desas-desus rombakan Jemaah Menteri timbul susulan PRN di enam negeri pada Ogos.
Semalam, ketua lima kementerian diumumkan terlibat dalam beberapa pusingan kerja dan pelantikan baharu, di sebalik ura-ura kemungkinan rombakan Jemaah Menteri.
Menjawab pertanyaan pemberita, Fahmi turut memaklumkan bahawa tiada perbincangan tentang mengembalikan Akta Antiberita Tidak Benar dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya sedang menyemak Akta Komunikasi dan Multimedia. “Kita sedia bawa ke Parlimen sebab urusan proses libat urus sedang berjalan.”
Akta Antiberita Tidak Benar dimansuhkan di Dewan Rakyat pada Ogos 2018, kerana undang-undang dan akta sedia ada dikatakan memadai untuk mendakwa pihak yang membuat berita palsu bertujuan memfitnah.
Beliau juga memaklumkan Akta Kebebasan Maklumat tidak dibincangkan mesyuarat Jemaah Menteri.