
PETALING JAYA: Dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin ditemui lemas ketika bermandi-manda bersama tujuh rakan di Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun.
Mayat Muhammad Khalili Hasnol dari Ampang Jaya, Selangor dan Muhammad Qamarul Ariffin Mohd Ramly dari Taman Tas, Kuantan, masing-masing berusia 20 tahun, ditemui kira-kira 8.40 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Sharifuddin Ali, dua mayat itu ditemui di dasar air terjun sedalam 5m.
“Belum sampai 10 minit pasukan penyelamat membuat selaman, kedua-kedua mangsa ditemui di dasar air terjun berkenaan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, dua pelajar Diploma Teknologi Maklumat itu bersama tujuh rakan sekuliah bermandi-manda di air terjun berkenaan sempena cuti Maulidur Rasul.
Rakan mangsa, Muhammad Fadli Baharudin, 20, berkata kejadian berlaku tidak sampai 20 minit mereka tiba di air terjun itu.
“Ketika kejadian, saya nampak Qamarul dan Khalili terkapai-kapai dan tenggelam timbul, seolah-olah meminta tolong. Seorang rakan kami cuba berenang ke arah mereka, namun gagal selamatkan mereka.
“Kami cuba meminta bantuan penduduk kampung dan menggunakan pelampung menyelamatkan mereka, namun gagal.”