
PETALING JAYA: Peruntukan dan subsidi tambahan daripada kerajaan pusat diperlukan untuk membangunkan kawasan penanaman padi, kata dua exco pertanian.
Ia susulan saranan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, kerajaan negeri membangunkan kawasan penanaman padi di negeri masing-masing bagi meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Akmal Salleh, berkata untuk meningkatkan pengeluaran padi memerlukan subsidi baja, benih dan racun tambahan daripada kerajaan pusat.
Beliau yang menyokong saranan Mohamad berkata, tanpa subsidi kebanyakan pesawah tidak boleh “survive”.

“Untuk satu hektar hanya 1.5 tan sahaja hasil tuaian akan dapat subsidi. Jika kerajaan mahu meningkatkan kepada dua tan, lebihan 0.5 tan itu tidak ada subsidi dan ditanggung sendiri pesawah. Ini yang kita minta kerajaan pertimbangkan,” katanya kepada FMT.
“Jika beri subsidi (tambahan) ramai pesawah mampu tingkatkan hasil pengeluaran padi.”
Sementara itu, Exco Selangor, Izham Hashim, berkata pihaknya akan mengemukakan peruntukan kepada kerajaan pusat bagi keperluan penyediaan prasarana sistem saliran dan rawatan tanah untuk membangunkan penamaan padi.

“Sedang teliti dan kita akan bawa perkara ini ke pihak atasan. Telah siap secara terperinci apa bentuk prasarana dan keperluan untuk tingkatkan produktiviti atau pengeluaran bagi sawah di Selangor.
“Saya rasa akan cecah ratusan juta,” kata exco infrastruktur & kemudahan awam dan pemodenan pertanian & industri asas tani itu.
Izham berkata, Selangor juga sedang meneliti untuk meningkatkan pengeluaran padi di sawah sekitar 18,000 hektar di Sabak Bernam.
“Dulu kebiasaannya padi boleh dapat dalam 10 hingga 12 tan bagi satu hektar. Tetapi sekarang jadi empat tan. Ini lebih penting untuk naikkan kembali kepada 10 hingga 12 tan hasil pengeluaran padi kita,” katanya.