
PETALING JAYA: Pereka ilustrasi yang menghasilkan “When I Was A Kid 3” menzahirkan rasa terkejut atas keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan novel grafiknya itu.
Cheeming Boey, yang kini menetap di Amerika Syarikat berkata, buku itu pada mulanya mendapat sambutan baik dan membolehkannya berhubung dengan pembaca di sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Ini buku pertama saya yang memenangi Reader’s Choice Award, jadi apabila ia diharamkan hampir sedekad selepas diterbitkan, saya terkejut,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Semalam, KDN berkata, buku itu diharamkan kerana ia mengandungi bahan yang “‘berkemungkinan memberi prejudis kepada moral'” dan mengarahkan penjualannya dihentikan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Keputusan ini susulan puluhan warga Indonesia, diketuai NGO Corong Rakyat, membuat protes di luar kedutaan Malaysia di Jakarta pada Jun, mendakwa buku itu menunjukkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di Malaysia dikritik secara tidak adil.
Corong Rakyat menuntut buku itu tidak lagi dijual, selain menggesa pihak berkuasa agar menyiasat motif di sebalik cerita itu beserta ilustrasinya.
Diterbitkan pada 2014, “When I Was A Kid 3” dihasilkan oleh Boey mengenai zaman kanak-kanaknya.
Dalam bab yang mungkin mencetuskan kontroversi itu, bekas pembantu Boey, seorang warga Indonesia, digambarkan memanjat pokok kelapa dengan kelajuan yang mengagumkan.
Boey yang telah menghasilkan dua buku lain berkata, niatnya bukan untuk menyinggung perasaan sesiapa sebaliknya memuji sifat bekas pembantunya itu.
“Saya percaya ini kes salah tafsiran, selain diambil luar daripada konteksnya,” katanya.
“Saya fokuskan sebahagian besar kerjaya dan tenaga saya kepada penambahbaikan Malaysia, menonjolkan negara dan budaya saya di mata dunia, dan, yang paling penting, untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang. Saya tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan.
“Saya setulus hati memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan perkara ini, dan mereka yang telah saya sakiti dengan tidak sengaja,” katanya sambil menambah, beliau akan mengambil pengajaran daripada perkara ini.