
PETALING JAYA: Siasatan terhadap bekas peguam 1MDB Jasmine Loo selesai, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Seperti sedia maklum, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah penjawat awam,” katanya menurut Bernama.
Pada 4 Sept lalu, polis menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1MDB didaftarkan atas nama penasihat undang-undang firma pelaburan itu, merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah dan jam tangan dianggarkan bernilai RM93.2 juta.
Terdahulu, Ayob menghadiri majlis serah terima tugas pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 4,862 saman dikeluarkan terhadap warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan trafik sepanjang tahun ini hingga bulan lalu, namun setakat ini hanya 1,703 daripada saman itu diselesaikan.
Menurutnya, sehubungan itu polis melancarkan Op Saman Tertunggak Warga Asing di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak sejak minggu lalu.
“Operasi saman tertunggak warga asing ini turut dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.
Beliau berkata daripada 4,862 saman berkenaan, 2,720 melibatkan notis saman diletakkan di kenderaan manakala selebihnya menerima notis diserahkan secara langsung kepada pesalah trafik.