
PETALING JAYA: Reman sepasang suami isteri disambung semalam bagi membantu siasatan kes penemuan tiga mayat warga Sri Lanka di sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul.
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata reman dua warga Sri Lanka berusia 40-an itu disambung tujuh hari lagi sehingga 6 Okt ini.
“Setakat ini, tiada perkembangan baharu dan polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.
Polis dilaporkan menemui tiga mayat lelaki Sri Lanka dalam keadaan bertindan, kaki dan tangan diikat dengan kepala ditutup plastik di bilik stor sebuah rumah sewa pada 22 Sept lalu.
Satu mayat itu ditemui dalam keadaan berbogel dengan kesan kelar.
Polis menerima panggilan orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan di lot rumah kedai empat tingkat itu kira-kira 11 malam pada 22 Sept. Pasangan suami isteri yang menyewa rumah terbabit ditahan dan seorang daripada tiga mangsa berkenaan anak mereka.
Susulan itu, polis menahan dua lagi suspek yang bersembunyi dalam hutan di sekitar Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.