
PETALING JAYA: Kerajaan perlu meluaskan desentralisasi berdasarkan keperluan dalam agihan dana Sabah dan Sarawak menjelang pembentangan belanjawan, kata ahli ekonomi.
Madeline Berma dari Institut Masa Depan Malaysia, berkata penting kerajaan memberi tumpuan ikut keperluan tertentu terutama bagi masalah kemiskinan, pengangkutan, dan pengangguran.
“Sarawak dan Sabah mempunyai kadar kemiskinan tinggi. Sabah mempunyai kadar miskin tegar tertinggi pada 19.4%. Sarawak pula merekodkan jumlah ketiga tertinggi iaitu 9%.
“Dua negeri ini juga memerlukan pembangunan pengangkutan jalan. Ini akan menyumbang dalam mengurangkan kos, meningkatkan peluang ekonomi, dan menambah akses kepada perkhidmatan kesihatan termasuk kemudahan pendidikan bagi masyarakat pedalaman,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, dana dalam Belanjawan 2023 tidak mencukupi. Dalam belanjawan itu Sabah dan Sarawak masing-masing menerima RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.
Pada Mac, pemimpin kanan Gabungan Rakyat Sabah Jeffrey Kitingan berkata, peruntukan tersebut tidak memadai mengambil kira keluasan negeri selain lapan daripada 10 daerah paling miskin di negara ini berada di Sabah.
Beliau berkata, peruntukan kepada Sabah dan Sarawak hanya 13% sahaja daripada keseluruhan dana pembangunan RM99 bilion.
Firdausi Suffian dari Uitm Sabah, berkata dua negeri berkenaan memerlukan dana besar dalam belanjawan bagi membina semula atau naik taraf sekolah dan jalannya.
Walaupun kerajaan telah memberikan autonomi kepada dua kerajaan negeri itu untuk meluluskan projek kurang RM50 juta, Firdausi berkata lebih banyak desentralisasi diperlukan kerana kerajaan negeri lebih arif menguruskan isu tertentu.
Kerajaan persekutuan mesti menjadi pemudah cara dalam proses itu. “Mereka juga perlu menumpukan dalam peningkatan kemahiran penjawat awam dan menambah baik proses tertentu,” katanya.
Belanjawan 2024 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Okt.