
PETALING JAYA: Walaupun timbul spekulasi mengenainya baru-baru ini, tidak akan berlaku sebarang perubahan dalam kepimpinan Bersatu menjelang pemilihan parti tahun depan, kata sumber.
Dua pemimpin Bersatu yang bercakap dengan FMT berkata, belum ada perubahan segera dirancang, tetapi kedua-duanya bersetuju bahawa Setiausaha Agung Hamzah Zainudin menjadi pilihan untuk mengambil alih jawatan presiden daripada Muhyiddin Yassin, yang mungkin tidak mempertahankan jawatannya.
FMT telah meminta komen daripada pejabat Muhyiddin mengenai perkara ini.
Sebarang pertukaran kepimpinan berkemungkinan besar berlaku pada pemilihan parti tahun depan, kata sumber itu.
“Sebagai sebuah parti politik, bagus untuk sentiasa menukar pemimpin,” katanya.
Menurut satu sumber lain, tiada tanda-tanda akan berlaku perebutan jawatan presiden jika Hamzah memutuskan untuk bertanding.
“Apa yang kita lihat, ahli parti sekarang OK jika Hamzah naik jadi presiden.”
Sumber itu juga berkata, beberapa pemimpin tertinggi parti turut bersetuju Hamzah mengambil alih pucuk pimpinan daripada Muhyiddin, sekiranya beliau memutuskan untuk berundur sebagai presiden.
“Muhiyiddin telah memberikan yang terbaik dan banyak berjasa untuk parti,” katanya.
Muhyiddin menerajui Bersatu sejak 2020, berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti berikutan Langkah Sheraton, yang menjurus kepada Muhyiddin menjadi perdana menteri selama 22 bulan.
Pada Mei, Muhyiddin berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti memandangkan PRN akan diadakan di enam negeri pada Ogos, selain untuk menyelesaikan isu pentadbiran lain yang “lebih penting” dalam parti terlebih dahulu.
Tambahnya, pemilihan parti tidak akan ditangguhkan selama maksimum 18 bulan jika isu-isu itu dapat diselesaikan lebih awal.