
PETALING JAYA: Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini dilaporkan meminta untuk dipecat daripada Umno tidak kisah jika diletakkan dalam blok pembangkang di DUN Melaka.
Bekas exco itu memaklumkan sendiri kepada Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh yang beliau tidak akan menjadi antara wakil rakyat menyokong kerajaan gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan.
“Saya tak kisah kalau nak dijadikan sebagai Adun pembangkang. Saya memang sudah cakap kepada ketua menteri, saya tidak akan jadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya kepada FMT.
“Sebelum Lembaga Disiplin Umno bertindak pun saya minta dipecat daripada parti sebab saya tak mahu jadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya kepada FMT.
Jailani berkata, beliau tidak kisah hilang keistimewaan sebagai wakil rakyat kerajaan kerana perjuangannya adalah untuk membantu rakyat.
“Saya tak kisah hilang gaji, hilang keistimewaan, tapi keutamaan saya, keikhlasan dalam perjuangan terutamanya (untuk) membantu rakyat,” katanya.
Apabila ditanya mengenai status tindakan disiplin terhadapnya susulan menghadiri program Perikatan Nasional (PN) di Johor atas kapasiti Muafakat Nasional (MN) pada Ogos, Jailani berkata, sehingga kini beliau belum mendapat sebarang maklum balas.
“Sebelum ini (pada September) Majlis Kerja Tertinggi bermesyuarat dan saya tunggu keputusan, malah saya hubungi sekretariat (Lembaga Disiplin Umno). Mereka cakap jawapan akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya.
Jailani berkata, beliau memberi jawapan bertulis kepada partinya pada 5 Sept menjelaskan sebab hadir ke program PN itu.
“Dengan tiada jawapan ini, saya kira mereka anggap saya tak penting. Baguslah jika kes saya ini dianggap remeh,” katanya.