
PETALING JAYA: Kerajaan melancarkan Ops Bersepadu Beras Putih Tempatan hari ini untuk pemeriksaan menyeluruh di semua peringkat rantaian industri padi dan beras.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu, berkata operasi itu akan bermula esok melibatkan badan kawal selia padi dan beras, kementeriannya, polis, Jabatan Kastam, dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.
“Kita akan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap rantaian industri termasuk semua kilang-kilang besar dan stor-stor pemborong besar.
“Sampel beras juga akan diambil di semua kilang beras, gudang pemborong mahupun pasar raya untuk membuat analisis kimia,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, operasi itu antara langkah intervensi tambahan daripada kerajaan bagi mengatasi isu beras tempatan di pasaran, dan akan diketuai Timbalan Menteri KPKM, Chan Foong Hin.
Katanya, juga kerajaan mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk kedai runcit.
“Oleh kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit 10kg, maka kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada Fama,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan bersetuju memberi subsidi sebanyak RM950 per metrik tan beras putih import mulai 5 Okt kepada Sabah dan Sarawak memandangkan pengeluaran beras tempatan adalah terhad.
“Melalui kaedah ini, harga runcit beras putih import di kedua-dua negeri ini akan menjadi RM31 bagi kampit 10kg.
“Selain itu, semua perolehan pembekalan beras putih bawah kontrak kerajaan akan menggunakan beras putih import di mana pembekal boleh mendapatkan bekalan pada harga borong iaitu RM3,200 harga pintu gudang tertakluk kepada syarat ditetapkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, lebih 600 kampit beras putih tempatan 10kg diedarkan di seluruh Semenanjung menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan setakat semalam.
Pada 20 Sept lalu, Mohamad berkata kementeriannya giat melaksanakan langkah intervensi bagi menampung kekurangan beras tempatan sebelum bekalan kembali stabil sebulan lagi.