
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan kadar inflasi akan terus menyederhana selepas berada pada tahap 2.5%, kata Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour.
Trend penurunan dijangka berterusan kerana momentum kenaikan harga perlahan.
“Kami akan berterusan memantau potensi risiko terhadap tinjauan (kadar inflasi), yang timbul daripada perubahan-perubahan pada dasar domestik berkait subsidi bahan api,” katanya dalam ucaptama Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2023.
Beliau berkata, Malaysia bernasib baik tidak berdepan cabaran inflasi teruk seperti dialami ekonomi negara lain, apabila kadar inflasi mencapai kemuncaknya pada separuh kedua 2022 dan menurun selepas itu.
Rasheed berkata, trend itu ekoran harga komoditi lebih rendah dan situasi penawaran dan permintaan bertambah baik.
Katanya, walaupun ekonomi seluruh dunia berdepan cabaran, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.
Beliau berkata, aktiviti berorientasikan domestik, keadaan pasaran buruh melibatkan penambahbaikan pekerjaan dan gaji, termasuk pelaburan domestik dan asing menyumbang kepada keteguhan ekonomi.
“Faktor tersebut akan terus menyokong ekonomi Malaysia pada 2024. Ekonomi juga akan mendapat manfaat pemulihan beransur-ansur dalam kitaran teknologi dan lantunan permintaan luaran,” katanya.