
PETALING JAYA: MIC yang kerap memegang jawatan timbalan menteri pendidikan sehingga kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018, bakal diserahkan semula portfolio itu apabila rombakan Jemaah Menteri diumumkan kelak, menurut sumber.
Sumber berkata, selain itu tambahan dua lagi timbalan menteri berbangsa India daripada PKR serta DAP dilihat sebagai antara langkah kerajaan perpaduan susulan hilang undian golongan itu dalam pilihan raya baru-baru ini.
Satu sumber berkata, parti menyerahkan dua nama kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan bagi satu jawatan menteri, dan timbalan menteri pendidikan.
“Timbalan Presiden MIC M Saravanan dicalonkan untuk satu jawatan menteri, manakala Ketua Biro Pendidikan parti, Nelson Renganathan dicadangkan bagi jawatan timbalan menteri pendidikan.
“Ini juga akan memanfaatkan kira-kira 500 sekolah Tamil di negara ini. Pengalaman luas Nelson dalam mengendalikan institusi pendidikan swasta akan memberi kelebihan kepadanya,” kata sumber parti itu kepada FMT.
Kali terakhir MIC memiliki jawatan itu adalah menerusi M Kamalanathan ketika pentadbiran Najib Razak pada 2013.
Nelson, 61, pertama kali dilantik sebagai senator pada November 2021 seterusnya melayakkan beliau memegang jawatan itu selama empat tahun lagi sekiranya dilantik semula selepas penggal pertamanya tamat tahun depan. Beliau juga bekas ketua Pemuda dan bendahari kebangsaan parti.
Ketika dihubungi, Nelson berkata beliau menyerahkan keputusan itu kepada parti dan Anwar, memandangkan pelantikan berkenaan adalah prerogatif perdana menteri.
Berhubung Saravanan pula, sumber parti berkata bekas menteri sumber manusia itu berkemungkinan tidak berada dalam Jemaah Menteri, sebaliknya ditawarkan jawatan wakil khas ke Asia Selatan. Jawatan itu sebelum ini dipegang presiden parti, SA Vigneswaran sehingga kerajaan perpaduan mengambil alih.
“Tidak mungkin Kementerian Sumber Manusia kerana melibatkan terlalu banyak kontroversi. Walaupun spekulasi kuat mengatakan menteri sedia ada, V Sivakumar berkemungkinan besar digugurkan, ia mungkin juga tidak akan diberikan kepada wakil berbangsa India lain,” katanya.
Menurutnya, Ahli Parlimen Tapah itu membayangkan tidak menerima jawatan lebih rendah daripada kedudukan dalam Jemaah Menteri. Bagaimanapun, beliau mungkin tidak akan diberi pilihan memandangkan Anwar perlu mengimbangkan antara pelbagai parti dalam kerajaannya.
“Ada juga desakan dari rakan Sabah dan Sarawak supaya diberi lebih jawatan dalam Jemaah Menteri serta bagi timbalan menteri. Ada kemungkinan Jemaah Menteri diperluas daripada 27 kementerian yang ada,” katanya.
Vigneswaran enggan mengulas perkara itu ketika dihubungi.