
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mempertahankan penjualan sebidang tanah milik kerajaan negeri di Batu Kawan kepada sebuah syarikat swasta yang kemudian dipindahkan kepada satu syarikat pemaju.
Sebidang tanah di Byram pada asalnya dimiliki Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tetapi dijual kepada UMECH Construction Sdn Bhd (UMECH).
Chow dalam kenyataan berkata, PDC pada mulanya mahu mewujudkan usaha sama untuk membangunkan satu kawasan perindustrian tetapi tiada syarikat menyatakan minat terhadap projek itu.
Katanya, UMECH kemudian menyatakan minat untuk membangunkan tanah itu apabila idea tersebut dibangkitkan delegasi Pulau Pinang di Expo Dubai 2020.
Chow juga berkata, sukar menarik pelabur untuk projek tersebut kerana tanah itu terletak bersebelahan tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
“Di Dubai, UMECH menyatakan minat mereka untuk melabur dan mengadakan perbincangan dengan satu penyumbang dana. Hasil perbincangan itu, UMECH berjaya meyakinkan PDC bahawa mereka akan disokong secara kewangan oleh penyumbang dana dari Dubai,” katanya.
Tanah itu kemudian dijual kepada UMECH.
Bagaimanapun, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang mendakwa satu pemaju hartanah sudah mengambil alih UMECH dan kini menawarkan sewaan untuk beberapa bahagian tanah itu dengan kadar tinggi.