
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan laporan konon akan berlaku rombakan Jemaah Menteri esok.
Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi membincangkan berhubung mesyuarat mingguan Jemaah Menteri esok.
“Belum, belum ada (jangkaan mengenai rombakan Jemaah Menteri), tadi saya menghadap Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) untuk bincang Kabinet esok.
“Tiada kaitan lagi dengan (rombakan Jemaah Menteri). Sebab lepas (mesyuarat) esok saya ke Sabah, (kemudian) saya ke Abu Dhabi,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Khazanah Megatrends.
Sebuah portal berita hari ini melaporkan Anwar akan mengumumkan rombakan selepas mesyuarat rutin Jemaah Menteri esok, kira-kira 11 bulan selepas beliau dilantik mengetuai kerajaan perpaduan.
Sementara itu, FMT difahamkan rombakan akan melibatkan penyertaan wakil komponen Barisan Nasional (BN) daripada MCA dan MIC, yang kini tidak mempunyai wakil dalam Jemaah Menteri.
Jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup kini kosong selepas penyandangnya Salahuddin Ayub meninggal dunia pada Julai lalu.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi hari ini dilapor berkata tiada sebarang perbincangan berkenaan rombakan tersebut.