
PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan Najib Razak terhadap bekas peguam negara, Tommy Thomas, berhubung saman salah guna jawatan awam ditangguhkan selepas hakim Mahkamah Rayuan menarik diri.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel tiga hakim, mendedahkan suaminya Nik Suhaimi Nik Sulaiman pernah berkhidmat secara langsung di bawah Thomas ketika beliau menjadi peguam negara.
Thomas menyandang jawatan itu antara Jun 2018 hingga Februari 2020.
Azizah kemudian menanyakan sama ada ada pihak mahu mengemukakan sebarang bantahan.
Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, mewakili Najib, berkata beliau telah diarahkan anak guamnya untuk memohon Azizah berundur, namun tidak menawarkan apa jua alasan.
Peguam Alan Adrian Gomez, mewakili Thomas, berkata beliau tidak membantah untuk Azizah mengetuai panel hakim.
“Tetapi, kami ingin tahu mengapa perayu mahu Yang Arif (Azizah) berundur,” katanya sambil menyatakan ujian untuk menolak kelayakan hakim adalah sama ada terdapat “bahaya sebenar berat sebelah” dalam kes itu.
Bagaimanapun, Firoz berkata beliau tidak mahu memalukan Azizah dengan mengemukakan alasan.
Azizah, yang bersidang bersama Hakim See Mee Chun dan Hakim Lim Chong Fong, kemudian memutuskan menarik diri.
“Saya berhasrat menarik diri kerana suami saya pernah bekerja secara langsung di bawah Thomas. Lagipun, ini adalah kes kepentingan awam,” katanya.
Tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache membenarkan permohonan Thomas membatalkan saman Najib atas alasan ia “tidak boleh dipertahankan” dan tidak ada sebab tindakan yang munasabah.
Ahmad berkata, punca tindakan salah guna kuasa tidak berbangkit kerana Thomas diberi kuasa budi bicara dan perlindungan atas kapasitinya sebagai peguam negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, proses membawa individu seperti Najib ke muka pengadilan perlu melalui beberapa peringkat dalam sistem keadilan jenayah.
Ahmad berkata, salah guna jawatan awam “bukan pemula” kerana Thomas tidak menjalan mahupun mengambil bahagian dalam pendakwaan empat kes yang masih berlangsung atau belum bermula.
Beliau juga mengambil maklum pengganti Thomas, Idrus Harun, juga tidak menarik pertuduhan, malah meneruskan kes.
Dalam saman itu, Najib mendakwa tuduhan jenayah berkait 1MDB dibawa terhadapnya adalah “sebahagian daripada langkah dirancang lebih awal” oleh kerajaan Pakatan Harapan, ketika pentadbiran itu berkuasa antara Mei 2018 hingga Februari 2020.
Beliau juga menuduh Thomas melaksanakan tugasnya “selari dengan rancangan”.
Dalam saman itu juga, Najib mendakwa Thomas memfailkan sejumlah 35 pertuduhan dalam empat kes, termasuk kaitannya dengan 1MDB dan International Petroleum Investment Co.