
BENTONG: Semua 15 Adun Pahang daripada Barisan Nasional (BN) menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy yang juga pengerusi BN Pahang berkata perkara itu dimaklumkan sendiri semua Adun BN kepadanya semalam.
“Mereka semua memberi jaminan, akan terus berdiri teguh dengan kerajaan yang ada pada hari ini dan mereka menyokong kepimpinan saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Sembang Santai Veteran.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dalam ceramah perdana di Felda Chemomoi semalam yang mendakwa ada kemungkinan Adun BN akan menyertai PN sekiranya gabungan itu menang pada PRK DUN Pelangai.
Komposisi yang membentuk kerajaan Pahang ketika ini terdiri 16 Adun BN dan lapan Adun Pakatan Harapan (PH), manakala PN mempunyai 17 Adun.
Pahang antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti bagi Adun sejak ia berkuat kuasa di peringkat persekutuan pada 5 Okt tahun lalu.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata dakwaan Muhyiddin itu adalah satu bentuk fitnah yang bertujuan mengelirukan dan menakutkan rakyat serta pengundi menjelang PRK Pelangai.
“Ini adalah satu budaya yang bagi saya yang tidak sihat…sebagai ahli politik kita sepatutnya cakap soal pengharapan dan kesejahteraan kepada rakyat. Bukan dengan sentimen menakut-nakutkan rakyat dan membuat cerita yang bukan-bukan,” katanya.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Johari Harun daripada BN yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, Selangor, 17 Ogos lalu.
PRK pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasni.