
Anwar berkata jika surat diutus dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan, ia perlu dipulangkan semula.
“Jadi saya ingin mengingatkan hal ini kalau di kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk universiti swasta, siapa saja menulis dalam bahasa selain bahasa kebangsaan surat itu akan dipulangkan,” katanya dalam ucapan pelancaran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Cyberjaya.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Bahasa Melayu tidak boleh dipertikaikan mengenai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan.
Selain itu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi juga dinyatakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
Menurut Anwar, terdapat sikap “terlajak” atau “terpesong” berhubung komitmen sesetengah pihak dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Memang kita tekankan dalam bahasa perdagangan antarabangsa bahasa Inggeris tetapi ada sikap yang saya rasa terlajak di kalangan beberapa jabatan.
“Baik pejabat awam apatah lagi universiti-universiti, termasuk universiti swasta dan sektor swasta yang seringkali cuba meninggalkan asas perlembagaan…,” katanya.