
PETALING JAYA: Mohammad Agus Yusoff mendakwa video perbualan tular yang dikaitkan dengan dirinya sebagai disuai pinda dan disunting.
Beliau tampil di hadapan pemberita di sebuah hotel di Bangi, bersama peguam dan seorang individu yang diperkenalkan sebagai “Wahab”.
“Video itu sesuatu yang disuai pinda (doctored), sesuatu yang disunting (edited),” kata Agus pada sidang media malam tadi.
Beliau mengkritik penularan video tersebut, mengatakan pihak tertentu menggunakan tuduhan seksual terhadapnya.
“Ini kena kepada saya,” katanya, dan menambah satu laporan polis sudah dibuat sebelum sidang media tadi.
Sementara itu, “Wahab” diperkenalkan sebagai individu lain yang dipaparkan dalam video tular tersebut.
Abdul Wahab Abdul Kader, yang bekerja di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sebagai pembantu pegawai komuniti daerah, menyokong dakwaan bahawa video tersebut disunting, oleh pihak yang cuba menjatuhkan reputasi Agus.
Beliau memperkenalkan dirinya sebagai orang yang diarah untuk merakam perbualan video dengan Agus itu, dan mendakwa komplot itu “didalangi oleh individu-individu berjawatan tinggi di dalam J-Kom”.
“Saya diarahkan untuk membuat suatu rakaman perbualan video bersama Agus bagi mendapatkan ‘bukti’ Agus terlibat dalam aktiviti songsang dan tidak bermoral.
“Hakikatnya, video yang saya rakam itu adalah video yang tidak mempunyai audio,” katanya.
Menjawab pertanyaan pemberita, Agus berkata perletakan jawatannya sebagai ketua pengarah J-Kom tidak berkait dengan penyebaran video berkenaan.
Katanya, keputusan itu kerana tidak puas hati dengan prestasi di jabatan berkenaan.
Semalam, Agus beritahu media surat letak jawatan dihantar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kelmarin.
Agus memulakan tugas sebagai ketua pengarah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu pada 2 Feb lalu.