
KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, susulan tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias, dilaporkan mengancam membatalkan pendaftaran MOM baru-baru ini.
Presiden MOM, Mohamad Norza Zakaria, menyifatkan kenyataan sedemikian tidak wajar kerana status MOM selaku badan payung persatuan sukan kebangsaan dijamin bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Kenyataannya, andai benar, melambangkan niat jahat daripada pesuruhjaya sukan.
“Walaupun MOM tidak berada dalam perjumpaan berkenaan, ugutan itu dikeluarkan tanpa sebarang sebab,” katanya dalam kenyataan.
Enggan membuat kesimpulan terburu-buru, Norza menuntut Suhardi menjelaskan keadaan sebenar memandangkan kenyataannya disifatkan melampaui batas.
Pada masa sama, beliau mengarahkan Setiausaha Agung MOM, Nazifuddin Mohd Najib, mengambil tindakan sewajarnya dengan mengemukakan bantahan, jika ia berlaku.
Klip audio seminit 20 saat tular dalam aplikasi WhatsApp memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM.
Rakaman perbualan itu dipercayai dibuat ketika perjumpaan Suhardi dan dua kumpulan mewakili kelompok pucuk pimpinan e-sukan berhubung pendaftaran dan keahlian antarabangsa sebuah badan induk sukan itu pada 14 Nov lalu.