
PETALING JAYA: Thomas Fann mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengerusi Bersih, tidak lama selepas beliau dilantik semula ke jawatan itu.
“Pada hari ini, saya meletak jawatan sebagai pengerusi Bersih. Bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar sehingga pengerusi baharu dilantik, saya akan kekal di jawatan ini selama dua bulan. Saya komited kepada peralihan kepimpinan yang lancar.
“Walaupun saya memenangi jawatan pengerusi tanpa bertanding untuk sepenggal lagi, tetapi jelas usaha saya untuk mengembangkan Bersih kepada institusi rakyat ditolak oleh majoriti NGO yang menyokong Bersih,” kata Fann.
Katanya, daripada lima jawatan ahli jawatan kuasa yang dipertandingkan pada pemilihan semula Bersih empat daripadanya dimenangi calon lawan, menunjukkan “mesej jelas” visi dan hala tuju Bersih yang dibawa beliau ditolak.
“Ini adalah undi tidak percaya,” tambahnya.
Fann berkata, beliau dan bekas aktivis pelajar Wong Yan Ke mempunyai pandangan bertentangan mengenai hala tuju Bersih.
“Peletakan jawatan saya membolehkan Wong dan pasukannya bebas membawa hala tuju Bersih yang mereka fikirkan sesuai untuk dua tahun ini,” katanya.