
KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga rakyat menganggap diri mereka mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang rendah, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, menurut kajian Bank Negara dan badan antarabangsa, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan.
Kajian juga mendapati seorang daripada 10 rakyat percaya diri mereka tiada disiplin dalam menguruskan kewangan, dan seorang daripada lima pekerja dewasa tidak menyimpan wang dalam tempoh enam bulan.
Sementara itu, hanya 24% rakyat didapati berkemampuan untuk menampung kos sara hidup selama sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih, jika kehilangan sumber pendapatan utama.
“Hasil dapatan ini meyakinkan kita pengetahuan pengurusan wang kritikal dalam usaha menjadikan belia kita ‘sihat kewangan’,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Kembara Bijak Wang 2023, anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.
Bagi meningkatkan tahap celik kewangan, kerajaan melaksanakan Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan untuk tempoh lima tahun dari 2019 hingga tahun ini, kata Ahmad.
Strategi dilancarkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan itu ingin memupuk tabiat dan sikap bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan, menerusi mesej pelbagai saluran dan akses kepada perkhidmatan kewangan.
Jaringan itu dianggotai oleh Kementerian Kewangan, BNM, Suruhanjaya Sekuriti, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, AKPK, Perbadanan Insurans Deposit, dan Permodalan Nasional Berhad.