
PETALING JAYA: Polis mengesahkan sembilan sekolah antarabangsa di Lembah Klang menerima ancaman bom pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid berkata laporan polis dibuat berhubung ancaman bom itu terhadap sekolah di kawasan masing-masing.
Hussein berkata, polis menerima tujuh laporan di Selangor, iaitu masing-masing dua di Petaling Jaya dan Shah Alam serta satu dari Kajang, Subang Jaya dan Kuala Langat.
“Kami masih siasat, tetapi percaya ia ancaman palsu,” katanya kepada FMT.
Allaudeen berkata, dua sekolah antarabangsa di Wangsa Maju menerima ancaman bom.
Mesej daripada sebuah sekolah itu kepada ibu bapa memaklumkan mereka berhubung ancaman bom yang tular di media sosial.
Menurut mesej itu, pihak sekolah menerima e-mel tanpa nama berhubung ancaman bom dan pihak berkuasa sudah dimaklumkan mengenainya.