
PETALING JAYA: Ancaman bom diterima sekolah di seluruh negara adalah palsu, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Razarudin berkata, polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu melibatkan sekolah kerajaan, antarabangsa dan swasta di seluruh negara.
Katanya, tujuh daripada laporan itu diterima di Selangor, lima (Kuala Lumpur), tiga (Johor), dua (Pulau Pinang) serta masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, ancaman itu diterima melalui dua akaun emel menggunakan nama “Takstorer” dari bahasa Jerman yang bermaksud “pengganggu kententeraman”.
“Polis juga mendapati alamat emel yang digunakan bagi menghantar ancaman bom palsu itu baru dicipta dan belum pernah digunakan di mana-mana servis internet,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, namun kandungan emel itu dikesan pernah dihantar ke 70 sekolah di Jamaica pada 12 Nov lalu.
“Siasatan turut menjurus sama dan insiden di Malaysia mempunyai kaitan dengan di Jamaica yang dipercayai didalangi seorang individu bermasalah yang mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya.
“Tindakan pembersihan keselamatan bom dijalankan secara rapi oleh elemen polis di semua lokasi terlibat namun tiada sebarang ancaman dikesan,” katanya.
Sehubungan itu, Razarudin berkata pihaknya mendapati emel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa.
Katanya, polis memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan akan mengambil tindakan segera bagi menyiasatnya tanpa gagal.
“Kes disiasat bawah Seksyen 507 Kanun keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain,” katanya.