
GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) tidak tahu-menahu mengenai sebuah buku yang didakwa diterbitkan unit penerangannya yang mendakwa keluarga Lim Kit Siang ada pertalian kekeluargaan dengan bekas pemimpin komunis Chin Peng, DUN Pulau Pinang diberitahu.
Lim Guan Eng (PH-Air Putih) berkata, beliau bertemu Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dan bertanya mengenai dokumen itu yang dipercayai digunakan dalam kempen gabungan tersebut pada PRU15.
“Tok Mat (Mohamad) berkata beliau tidak tahu dan tiada pengetahuan mengenai buku ini,” kata Lim yang juga pengerusi DAP.
Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) sama ada pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap pihak menerbitkan buku itu.
Adun PAS itu berkata tuduhan dibuat Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad, keluarga Lim mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng berdasarkan dokumen berkenaan.
Sebelum ini, Siti Mastura dikritik selepas mendakwa Kit Siang dan Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng dan juga bekas perdana menteri serta pengasas Singapura Lee Kuan Yew.
Guan Eng juga berkata, baik Fauzi mahupun Siti Mastura seharusnya menggunakan fakta dalam perbahasan mereka dan tidak menggunakan fitnah dan serangan peribadi terhadap keluarganya.
“Adakah PAS parti yang terlibat dengan fitnah?” soalnya.
Pada 10 Nov, Guan Eng mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura kerana mengeluarkan kenyataan berunsur kebencian.
Sementara itu, Kit Siang semalam mengumumkan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil PAS tersebut kerana memfitnah.
Veteran DAP itu juga menggambarkan Siti Mastura sebagai “keaiban negara” dan “tidak celik media” kerana mengaitkan keluarganya dengan Chin Peng dan Lee.