
KUALA LUMPUR: Seorang wakil pembangkang meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan mekanisme pelantikan Felo Perdana, susulan insiden seorang peserta dikeluarkan daripada program itu kerana mengemukakan sijil tidak tulen.
“Jadi apa usaha pihak kementerian supaya perkara ini tidak berulang?” soal Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) di Dewan Rakyat ketika membahaskan Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa.
Pada 13 Sept, KBS mengesahkan seorang individu dikenali sebagai Azhar Ali, yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), dikeluarkan daripada program Felo Perdana.
Tindakan itu diambil setelah semakan mendapati sijil yang dikemukakannya bagi beberapa pencapaian tidak tulen.
Azhar sebelum ini pernah tular pada 2020 apabila mendakwa menerima biasiswa Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat.
Felo Perdana ialah program pementoran dan latihan amali yang bermatlamat melahirkan belia berdaya saing dan memahami sistem pentadbiran negara.
Dalam pada itu, Afnan turut mencadangkan program belia terbabit diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“(Ini) kerana penting juga untuk belia kita faham struktur proses pentadbiran negeri dan peringkat pentadbiran PBT,” katanya.