
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Feb tahun depan untuk mengeluarkan keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas tuduhan membunuh CEO Cradle Fund Nazrin Hassan lima tahun lepas.
Tarikh sama juga ditetapkan untuk keputusan rayuan Samirah dan dua remaja itu untuk mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi, termasuk penemuan bahawa kebakaran yang tercetus di bilik Nazrin itu “dilakukan dengan sengaja”.
Berdasarkan semakan mahkamah, tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes secara dalam talian pada 16 Nov lepas.
Pada 23 Okt lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azhahari Kamal Ramli, menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujah pihak pembelaan dan pendakwaan.
Shafee Abdullah, yang mewakili Samirah dan dua remaja tersebut selaku peguam, menyelesaikan hujahan pada 23 Okt, manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim selesai berhujah pada 17 Okt.
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah, 48, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja yang kini berumur 21 dan 18 tahun, daripada tuduhan membunuh Nazrin selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Samirah dan kedua-dua remaja tersebut, serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.
Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja itu memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi.