
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Wan Muhammad Azri Wan Deris memasukkan kehadiran dalam kes saman Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil terhadap blogger itu dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Saman itu difailkan Fahmi pada 5 Sept lalu, berhubung dakwaan konon Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Dalam kes saman, individu yang disaman atau defendan dikehendaki memasukkan kehadiran sama ada secara sendiri atau melalui peguam, sekiranya berhasrat untuk membela diri terhadap tindakan saman itu.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi mewakili Fahmi, berkata pada prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Aisyaf Falina Abdullah secara dalam talian hari ini, mahkamah memerintahkan Wan Muhammad Azri memasukkan kehadiran sehingga 5 Dis.
“Pada 6 Nov lepas, mahkamah memutuskan supaya plaintif (Fahmi) menyerahkan saman itu menerusi pemakluman penyampaian ganti di dalam akhbar kerana saman tersebut gagal diserahkan kepada defendan (Wan Azri). Notis tersebut telah diterbitkan dalam surat khabar The Star hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Asheeq Ali, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 8 Dis untuk pihak plaintif memaklumkan kepada mahkamah sama ada defendan telah memasukkan kehadiran atau sebaliknya.
Sementara itu, Fahmi dalam catatan Facebook, berkata peguamnya telah cuba menghubungi Wan Azri sejak beberapa bulan lalu.
“Ini berkait kenyataan fitnah yang dibuat individu tersebut (Wan Azri) terhadap saya sebelum PRN Ogos lalu,” katanya.
Selain Wan Azri, Fahmi juga menfailkan saman terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani serta pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan berhubung isu sama.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwanya menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Dusuki pada 31 Julai lalu.
Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.