
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memalsukan dokumen bagi tujuan pinjaman berjumlah RM150,000.
Nurul Shahira Roslan, 39, didakwa menyamar sebagai kakitangan LHDN dengan mengemukakan dokumen palsu kepada pihak Bank Islam bagi tujuan membuat permohonan pinjaman khas yang ditawarkan kepada kakitangan agensi itu.
Sebanyak RM150,000 kemudian dimasukkan ke akaun Bank Islam atas nama Nurul Shahira. Pihak bank tidak akan meluluskan permohonan itu sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam cawangan Sri Petaling di sini antara 1 Mac 2019 hingga 14 Mac 2019, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Wanita itu juga didakwa menggunakan dokumen palsu, iaitu salinan pas keselamatan LHDN, penyata gaji LHDN, penyata bank, penyata EC dan surat pengesahan majikan LHDN dalam permohonan pinjaman khas tersebut sehingga ia diluluskan dan wang itu dimasukkan ke akaun Bank Islam tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada tarikh, masa dan tempat sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman mencadangkan jaminan RM50,000, beserta syarat tambahan, iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Syamil Haidhar Abdul Jalil Alwi yang mewakili tertuduh selaku peguam memohon jaminan RM8,000 dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang memerlukan rawatan di hospital.
“Anak guam juga mengalami gangguan emosi kerana keguguran anak kali ketujuh, selain tiada risiko melarikan diri,” katanya.
Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Dis.