
PETALING JAYA: Polis Melaka berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu bernilai lebih RM6.94 juta dipercayai bagi pasaran dalam dan luar negara.
Ketua Polis Melaka Zainol Samah, berkata rampasan terbesar dilakukan pada Sabtu lalu hasil penangkapan tiga individu di dua lokasi berasingan.
Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya memintas sebuah kereta Volkswagen Passat dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun di KM206 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pada 2.45 petang.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta berkenaan polis merampas syabu seberat 10.392kg dianggar bernilai RM342,943 disorok di antara tempat duduk belakang dan but kereta,” katanya menurut Berita Harian di IPK Melaka.
Zainol berkata, hasil siasatan suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah kondominium di Jinjang, Kuala Lumpur, pada hari sama.
Katanya, JSJN Melaka dan Kuala Lumpur menahan dua lagi lelaki lelaki masing-masing berusia 46 dan 51 tahun serta merampas dadah pil ekstasi seberat 67kg, syabu 26kg, dan 103,700 biji pil erimin 5, dianggarkan bernilai RM6,604,800.
“Ujian saringan air kencing ke atas tiga individu berasal dari Johor yang ditahan mendapati dua suspek ditahan di kondominium itu positif dadah methamphethamine selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.
Katanya, polis juga menyita harta yang dirampas daripada individu berkenaan yang terdiri daripada sebuah kereta Volkswagen, wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM177,000.
“Ini adalah rampasan terbesar dengan nilai keseluruhan jumlah rampasan dadah dan harta yang disita dianggarkan RM7.12 juta,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga 25 Nov dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah,” katanya.