
KUANTAN: Polis berjaya melumpuhkan sindiket menggodam kad bank melibatkan mangsa dari negara Timur Tengah dengan penahanan dua lelaki di sebuah rumah di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata lelaki tempatan berumur 23 tahun yang berasal dari Selangor dan rakannya seorang lelaki warga China berusia 24 tahun ditahan sekitar 4 pagi oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan.
Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak pertengahan tahun ini dengan anggaran keuntungan sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 sehari yang menyasarkan mangsa dari negara antaranya Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Turki.
Menurut Yahaya, suspek menggunakan laman sesawang palsu untuk mempromosikan barangan bagi menarik minat mangsa membeli dan mendaftarkan butiran kad kredit atau debit mereka.
“Setelah sindiket berjaya menggodam akaun kad bank mangsa, mereka akan menggunakan aplikasi Wallet di telefon bimbit dan memasukkan butiran kad bank pemilik.
“Suspek kemudian menggunakan terminal pembayaran mudah alih dan memasukkan butiran jumlah wang sebelum mengimbas aplikasi Wallet di terminal pembayaran itu bagi mendapatkan wang,” katanya pada sidang media di IPD Kuantan.
Yahaya berkata anggaran kerugian melibatkan mangsa di negara terbabit masih dalam siasatan memandangkan transaksi melibatkan bank di luar negara dan Malaysia, selain polis masih mengesan individu lain yang terlibat dengan sindiket berkenaan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 94 telefon bimbit jenama iPhone pelbagai model, tiga komputer, kabel mengecas telefon dan 14 terminal pembayaran mudah alih.
Beliau berkata tempoh reman kedua-dua lelaki yang berakhir hari ini akan disambung bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120 (B) (2) Kanun Keseksaan.