
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bersetuju dengan cadangan pembentukan jawatankuasa bersama antara kerajaan negeri dengan persekutuan bagi menyelaraskan pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di negeri itu.
Hajiji berkata, cabaran yang menghalang pelaksanaan atau penyiapan projek persekutuan boleh diatasi dengan penubuhan jawatankuasa bawah bidang kuasa Pejabat Pembangunan Sabah (SDO) itu, justeru, beliau telah mengarahkan jabatan itu bertindak terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan tugas, serta menamatkan kontrak mereka.
“Tamatkan sahaja kontrak mereka. Kenapa kontraktor mesti terus dikekalkan sedangkan projek itu gagal disiapkan? Kenapa perlu tangguh (pecat kontraktor)?.
“Saya mahu semua kementerian, jabatan dan agensi mengambil iktibar atas isu yang dikemukakan oleh SDO untuk memperbaiki prestasi,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu hari ini.
Terdahulu dalam mesyuarat sama, Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun membangkitkan isu pembinaan Masjid Daerah Ranau, yang telah tertangguh dengan ketara namun tiada tindakan untuk menamatkan khidmat kontraktor.
Sementara itu, Hajiji berkata, dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas, Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion bagi pembangunan, berbanding RM6.5 bilion tahun ini.
Katanya, kerajaan persekutuan juga mewakilkan projek pembangunan bawah RM50 juta kepada Agensi Teknikal Sabah untuk meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaannya.
Kerajaan negeri dan persekutuan juga bersetuju bahawa Sabah akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik pada 3 Jan 2024.
Sementara itu, kerajaan persekutuan akan meneruskan subsidi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehingga Pelan Transformasi SESB dilaksanakan tujuh tahun mulai sekarang.
Semua ini, menurut Hajiji, mencerminkan komitmen kerajaan persekutuan untuk memberikan tumpuan pada pembangunan Sabah melalui pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut mengulangi gesaan agar semua pegawai daerah memantau prestasi projek pembangunan, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan menangani isu kemiskinan di kawasan masing-masing.
“Fungsi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Daerah dan Kumpulan Fokus Kesejahteraan Rakyat Daerah juga perlu dipertingkatkan, laporkan kepada pihak atasan jika ada masalah.
“Kita mesti fokus pada pelaksanaan projek pembangunan kerana bimbang peruntukan itu gagal sampai ke akar umbi kerana ketidakcekapan,” katanya sambil menambah, semua peraturan yang lapuk dan tidak relevan perlu dikaji semula dan ditambah baik mengikut kesesuaian semasa.