‘Tak Melayu’ cabar Muhyiddin, kata penganalisis

‘Tak Melayu’ cabar Muhyiddin, kata penganalisis

Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata tidak bijak cetus ketidakstabilan apabila lima wakil rakyat Bersatu telah nyata sokong kerajaan.

Penganalisis berpandangan lebih baik mengekalkan Muhyiddin Yassin sebagai presiden Bersatu memandangkan cabaran didepani parti itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis berpandangan “tidak Melayu” untuk pihak lain mencabar Muhyiddin Yassin sebagai presiden Bersatu selepas bekas perdana menteri itu menarik balik keputusan tidak mempertahankan jawatan itu, kata penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata Bersatu tidak kekurangan bakal calon berpotensi menjadi presiden parti dengan pengalaman dalam kerajaan, seperti bekas menteri, Hamzah Zainudin, Saifuddin Abdullah, dan Mustapa Mohamed.

Walaupun tokoh tersebut berupaya selain ahli politik matang, Fauzi berkata, “tidak Melayu” bagi mana-mana merka mencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden, lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Pagoh itu telah menyatakan hasrat mempertahankan jawatan berkenaan.

“Adalah tidak Melayu mencabar Muhyiddin kerana nilai budaya Melayu menghormati yang tua dan pemimpin.

“Jika anda melihat perubahan kepimpinan dalam parti politik Melayu, pemimpin kebiasaannya secara sukarela meletak jawatan atau ditekan berbuat demikian, bagi membuka laluan kepada pemimpin meningkat naik.

“Kecuali ketika Anwar Ibrahim mencabar Ghafar Baba bagi perebutan timbalan presiden Umno pada 1993, menyaksikan Ghafar menarik diri walaupun beliau merupakan penyandang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tidak bijak menimbulkan lagi kekusutan mengambil kira lima wakil rakyat Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri, sambil menambah tindakan itu akan merendahkan moral akar umbi.

“Lebih baik kekalkan status quo berbanding mencetuskan ketidakstabilan dalam parti yang dibelenggu kes mahkamah, pembelotan, dan skandal,” katanya.

Hamzah, yang juga ketua pembangkang antara nama dikaitkan sebagai calon berpotensi mengambil alih jawatan presiden Bersatu.

Pada Persidangan Agung Tahunan Bersatu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden menjelang pemilihan parti tahun depan. Bagaimanapun, Muhyiddin menarik balik keputusannya selepas dinasihati isterinya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsan Singapura, berkata Muhyiddin tidak pernah berhasrat melepaskan jawatan presiden, malah pengumuman dibuat bagi meraih kesetiaan daripada pemimpin kanan parti.

Tanpa mengira siapa pun menerajui Bersatu, Oh berkata tiba masa jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) diberikan kepada PAS memandangkan parti itu mempunyai kerusi Parlimen lebih besar berbanding Bersatu.

Pada PRU15, Bersatu menguasai 31 kerusi Parlimen, namun PAS memenangi 42 kerusi, menjadikannya parti tunggal menang kerusi terbanyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.